Friday 19 February 2016

Belia Dan Ganja

Belia dan Ganja

1) Api kebakaran yang besar itu bermula dari kecilnya api. Tiada yang besar kecuali bermula dengan yang kecil. Begitulah ibarat yang akan berlaku jika saranan untuk menjadi ganja sebagai barangan bukan terlarang di Malaysia sepertimana di negara-negara TPPA yang lain.  Bermula dengan merokok di sekolah secara sorok-sorok, sudah berkerja ada duit lebih, menagih ganja pula dan seterusnya menagih dadah. Umum ketahui bahawa dadah musuh negara nombor 1. Ia merosakan masyarakat terutama golongan belia yang menjadi tonggok harapan negara pada masa hadapan.  

2) Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia, Negeri Johor (GJ) ingin menarik perhatian warga Malaysia supaya membantah cadangan dan syor untuk “meringankan” hukuman bagi pengisap ganja serta tidak menganggap ganja sebagai barangan terlarang. Ganja atau marijuana adalah barangan terlarang dan amat memudaratkan penggunanya jika diambil tanpa panduan doktor.  Ganja atau marijuana (kannabis) adalah barangan terlarang di Malaysia sepertimana yang telah diperuntukan dibawah Akta Dadah Berbahaya tahun 1952 Pindaan 1998. Jika seseorang disabitkan kesalahan dibawah akta ini hukuman “paling ringan” adalah denda RM 5000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya. Namun  hukuman mati mandatori jika disabitkan jika bersalah mengedar bahan terlarang ini sepertimana didalam Seksyen 39(B) akta yang sama.

3) Disamping ganja membawa kearah masalah ketagihan, ganda juga memberi kesan yang buruk dari aspek ekonomi dan sosial. Jika seorang belia terjebak dengan ganja disebabkan mudahnya untuk diperolehi dimana-mana, mereka terpaksa memperuntukan jumlah duit yang banyak untuk mengatasi ketagihan mereka. Jika mereka dibuang kerja akibat majikan tahun mereka menagih ganja, mereka tiada pendapatan. Mereka ada anak dan isteri yang perlu ditanggung dan keperluan lain untuk dibayar disamping perlu membeli ganja. Namun tiada pendapatan tetap, dan ini mereka akan mencari jalan mudah dengan mencuri dan mengambil hak orang lain bagi memenuhi keperluan mereka. Mereka sememangnya menjadi hamba ganja atau dadah. Ini juga boleh menjadi sebab utaman robohnya sesebuah institusi  keluarga. Isteri sanggup bercerai dan berpisah dengan suami daripada menangung si suami penagih ganja. Jika institusi kekeluargaan telah roboh, maka itulah tandanya masyarakat akan rosak. Anak-anak menjadi terbiar dan akhirnya mereka juga akan terjebak dengan ganja akibat pengaruh rakan-rakan.

4) Dari aspek pekerjaan pula, penagihan ganja akan menyebabkan kemerosotan kualiti kerja seseorang belia. Mereka akan selalu berhutang sana sini, lewat datang kerja serta culas ketika bekerja, sukar untuk mengawal emosi dan pertuturan dan sangat-sangat suka menipu dan suka memberikan alasan untuk tidak berkerja. Mereka seolah-olah kehilangan kawarasan akal fikiran dan tidak bertimbang rasa terhadap persekitaran mereka. Seharusnya hukuman berkenaan dengan penyalahgunaan ganja seharusnya ditambah berat supaya rakyat takut dan insaf atas kesalahan mereka. Menurut MyAADK , jumlah penagih dadah yang berada di agensi tersebut bagi tahun 2014 ialah seramai 21,777 orang dengan penagih ganja adalah penyumbang ketiga besar iaitu seramai 1,919 orang. Umur mereka dari semuda 13 tahun sehingga 40 tahun. Sememang golongan belia amat mudah terdedah penyalahgunaan ganja dan dadah seharusnya cadangan untuk tidak mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan ganja dikalangan belia adalah sesuatu yang tidak wajar.

5) Sekali lagi GJ ingin menyuarakan agar akta berkenaan dadah dan ganja ini perlu diperhalusi untuk dan ditambah berat lagi hukumannya. Selain dari itu, seharusnya kita perkukuhkan institusi kekeluargaan agar golongan belia kita tidak terdedah terhadap bahaya ganja dan dadah. Pendidikan agama serta penerapan jatidiri terhadap golongan belia juga perlu diperkuat dan ditajamkan selaras dengan perkembangan zaman semenjak mereka dirumah lagi. Pihak ibu bapa, guru-guru disekolah, pensyarah serta masyarakat perlu mengambil sikap proaktif dan peka terhadap bahaya ganja dan dadah serta menjadi mata dan kepala pihak yang berwajib untuk membendung perkara ini.

Sekian terima kasih.

Yang benar
Dr Abd Rahman Bin Tamuri
Pengerusi GJ Negeri  Johor